Segerakan, Sebelum Terlambat

Gambar hiasan

Tangani segera kanak-kanak hidu gam

DALAM usaha pihak berkuasa memerangi penyalahgunaan dadah, saya ingin menarik perhatian pihak kerajaan berkaitan penyalahgunaan daun ketum dan kegiatan menghidu gam semakin berleluasa di kalangan kanak-kanak.

Saya dimaklumkan kanak-kanak berusia 12 tahun sudah terbabit dalam kegiatan menghidu gam.

Baru-baru ini, media melaporkan sebuah taman permainan di Jalan PJS 2C/8 Taman Datuk Harun menjadi sasaran tempat menghidu gam di kalangan kanak-kanak.

Apabila seorang wartawan akhbar berkunjung ke sana, beliau mendapati empat remaja iaitu tiga budak perempuan dan seorang budak lelaki sedang khayal selepas menghidu gam. Budak lelaki itu ketika ditanya mengaku mereka mendapat wang daripada ibu bapa untuk membeli gam.

Setin gam boleh dibeli di mana-mana kedai perkakasan dengan harga RM4 dan sedang merancang mengadakan parti menghidu gam.

Biarpun polis menyedari aktiviti ini, tiada peruntukan undang-undang membolehkan aktiviti menghidu gam didakwa dan mereka yang terbabit akan dibebaskan selepas diberi amaran. Ketika ini, menghidu gam bukan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Walaupun saya tidak mengetahui jumlah sebenar penghidu gam di negara kita, saya percaya bilangan mereka cukup besar untuk mewajarkan tindakan pihak berkuasa yang berkaitan serta keresahan ibu bapa.

Mereka yang ketagih akan mengalami masalah kesihatan serius seperti kerosakan otak, bahkan juga boleh mendorong mereka terbabit dengan jenayah dan juga gejala sosial yang lain.

Kanak-kanak memerlukan kaunseling dan pemulihan. Justeru, undang-undang khusus diperlukan untuk menangani isu ini serta mengawal peniaga daripada terus menjual gam secara bebas.

Ibu bapa perlu mengambil perhatian serius serta perlu mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan jika mendapati anak mereka menghidu gam.
Saya menyeru kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan aktiviti menghidu gam secepat mungkin bagi mengatasinya sebelum parah dan juga melindungi kanak-kanak daripada ancaman bahaya.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia.

Sumber Berita Harian (20 Ogos 2011)



Edit




Banjir Kilat di Penang




Banjir kilat jadi kalut di Penang

GEORGE TOWN: Hujan lebat yang turun sekitar pukul 11 pagi tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di sekitar Pulau Pinang hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa jalan utama.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan air naik hingga ke paras lutut di kawasan perumahan, Minden Heights.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Taman Brown, K. Santha berkata beberapa buah rumah di Changkat Minden 7 ditenggelami air.

“Saya menerima maklumat daripada ahli kami bahawa banjir kilat yang melanda ini disebabkan oleh kebocoran paip yang bawah tanah akibat tekanan air yang kuat di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bukan itu sahaja, berdasarkan tinjauan beberapa kawasan turut ditenggelami air antaranya sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Masjid Negeri.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas hingga 1 kilometer berlaku di lebuh raya bertingkat dari Bayan Baru ke Gelugor.

Ia disebabkan oleh lampu isyarat yang rosak di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah-Sungai Dua.

Kesesakan bertambah buruk apabila terdapat kenderaan rosak diletakkan sepangjang jalan tersebut.

mStar



Dua Kisah Remaja Kita


Cubaan bunuh diri

Pelajar kena cekup maki guru

KUALA TERENGGANU: Pelajar perempuan berusia 14 tahun memaki guru dan anggota RELA yang menahannya bersama dua rakan dalam Operasi Ponteng Sekolah peringkat negeri, semalam.

Kejadian berlaku di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, ketika pelajar berkenaan yang berpakaian biasa asyik menyaksikan acara sukan Majlis Sekolah Daerah Kuala Terengganu Utara kira-kira jam 10 pagi.

Pelajar itu antara 53 pelajar berusia antara 14 dan 17 tahun yang ditahan dalam operasi ponteng sekolah bermula jam 8 hingga 11 pagi.

Dalam operasi itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didapati positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azahar Abu Bakar, berkata 13 pelajar ditahan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gong Badak), SMK Bukit Besar (14), SMK Bukit Tunggal (sembilan), SMK Seri Budiman (tujuh) dan masing-masing tiga dari SMK Bukit Guntong; SMK Agama Tok Jiring dan SMK Ibrahim Fikri serta dua SMK Panji Alam.

“Lokasi serbuan adalah port pelajar itu ponteng. Kita juga menahan beberapa pelajar ponteng kononnya untuk menyokong rakan yang menyertai acara sukan di kompleks itu,” katanya selepas memberi taklimat kepada pelajar terbabit dan ibu bapa mereka di Dewan SMK Ibrahim Fikri, semalam.


Tilam selamat gadis terjun bangunan, orang ramai bantu mangsa cuba bunuh diri

KOTA BHARU: Tindakan pantas orang awam menyediakan tilam berjaya menyelamat seorang gadis yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan kompleks beli-belah KB Mall setinggi 30 meter, petang semalam.

Mangsa berusia 20-an yang dipercayai sebelum itu bergaduh dengan teman lelakinya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan.

Sebelum itu, jam 3.50 petang pengunjung KB Mall dikejutkan dengan tindakan gadis itu yang memakai baju putih lengan pendek dan berseluar jeans serta memegang pisau berdiri di tepi tingkat bangunan berkenaan.

Gadis itu berlegar di sudut bangunan sambil memegang pisau kemudian kelihatan bercakap melalui telefon selain menghantar SMS dan secara tiba-tiba cuba menggelar tangan serta lehernya.

Kira-kira 15 anggota Bomba dan Penyelamat dari Kota Bharu serta Pengkalan Chepa yang berada di bangunan itu memujuk gadis berkenaan selama 20 minit, namun gagal menyebabkan seorang anggota menghampirinya itu dalam usaha cuba memujuk mangsa.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat, Shahrin Yusmal Mat Yusof, berkata anggota Bomba, Mohd Zaki Ismail kemudian turun ke tepi bangunan dan menangkap tangan mangsa.

“Mohd Zaki berjaya menangkap tangan mangsa, namun gadis itu meronta-ronta untuk dilepaskan sehingga separuh badan mangsa hampir terjatuh.
“Oleh sebab tangan mangsa yang licin dan meronta-ronta, pegangan Mohd Zaki terlepas sekali gus mangsa jatuh di atas tilam yang sudah dibentangkan orang awam,” katanya.

Sumber : Berita Harian 25 Mac 2011

Category: 0 comments