Perjalanan yang panjang..

BULAN ni, kerja saya asyik ke Pahang saje. Tiga isu yang saya ambik alih ada di sana. Kadang-kadang terasa perit. Namun, atas dasar kerja dan untuk mencapai persoalan tentang “penggunaan masa muda”, saya tabah menghadapinya. Kata-kata perangsang, isteri tercintalah menjadi penguat semangat aku dikala aku lemah. ALHAMDULILLAH..


Dek kerana infomasi yang kurang tepat dan agak lambat, perjalanan inilah saya rasa yang paling teruk. Majlis Penerangan Cadangan Pembinaan Kuari dan Kilang di Jebak Puyuh adalah sasarannya. Anjuran Kerajaan Negeri dan syarikat. Bas jam 12malam memecut sederhana laju menuju ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan aku lena. Tepat jam 4.30pg tibalah aku di Kota Raya Kuala Lumpur. Ingatkan lengang, rupa-rupanya di sekitar Pudu Raya ini aktivitinya tak pernah berhenti. Saya mula terfikir, bilakah masa tidur mereka bagi peniaga dan pemandu teksi di sini?


Saya terus menapak menuju ke Hentian Puduraya. Tujuannya untuk rehat sementara menanti Putra LRT beroperasi untuk ke Titiwangsa. Ulat-ulat tiket, awal-awal pagi dah memulakan operasi mencari penumpang. Tapi tak seramai pada waktu-waktu puncak.


Saya terus mencari tempat untuk berehat. Penuh! Terpaksalah menyelit-menyelit disebelah pak cik yang sedang nyeyak tidur. Pelbagai ragam ada kat situ. Senonoh dan tak senonoh.


Jam 5.45 pagi. saya menapak menuju ke stesen Putra LRT (Plaza Rakyat) yang paling dekat. Sampai je di situ, sudah ramai menanti untuk menaiki LRT. Masing-masing menunggu pintu pagar di buka. Tiba di Titiwangsa, terus bergegas mencari surau.


Saya ambil tiket menuju je Jerantut selepas mendapat nasihat dari seorang pak cik, yang juga seorang pemandu bas. Bas paling awal ke Jerantut jam 8pagi. Beli kuih-muih dan air botol untuk mengisi perut, alas sarapan pagi. Naik je bas, mantoplah. Pemandu pasang lagu dangdut dengan nada yang sangat kuat. Penumpang hanya ada 5 orang. Naik je, saya bagitahu kat pemandu supaya berhenti di Kampung Kuala Krau. Namun, perjalanan saya tersasar. Tiba di Jerantut, 30 km dari lokasi sepatutnya. Pemandu terlupa.


Telefon orang kontak, mintak datang mengambil saya di Jerantut. Namun, terpaksa ambil bas henti-henti untuk patah balik. Jam 11, bas akan bertolak. Program dah mula sejam yang lalu.


Loceng ditekan. Di Kampung Kuala Krau, jam menunjukkan jam 11.30pagi. Tanpa buang masa terus bertanyakan jeti untuk naik bot menuju je tempat program. Tiada jalan darat yang paling dekat dari sini. Sebiji bot sahaja yang beroperasi untuk menghubungkan dua kampung ini. Jambatan belum siap sepenuhnya lagi.


Semasa membayar tambang (RM1.30) bertanya kepada abang “si pilot”, jarak perjalanan ke dewan berlangsungnya program.


“Jauh, 2 kilometer. Tumpang adik ini, rumah dia dekat-dekat kat situ je.”


“Mampos, jauh lagi. Ingatkan dekat je.” Hati saya berbisik.


Ketibaan saya disambut seorang yang berpakaian ala pejabat, bertali leher kemas.


“En dari mana.” Dia memulakan sapaan.


“Dari NGO, SAM.” Saya membalas.


“Lama dah mula program.” Saya bertanya.


“Lama dah, dari jam 10 lagi. Silalah.” Dia menjemput.


Saya terus masuk dan duduk di bahagian tengah. Sesi soal jawab dah lama bermula. Saya memang tak mampu nak berbuat apa-apa. Nak bertanya soalan, seakan tidak sesuai. Difikirkan, pemaju telah menerangkan semua ada A-Z. Akhirnya saya membuat keputusan untuk menunggu jawapan daripada mereka yang ada di pentas.


Malang. Tiada jawapan kecuali kata-kata manis dari seorang YB Ahli Parlimen dan YB Adun kawasan terbabit.


“Saya harap pemaju mempertimbangkan tuntutan penduduk (pampasan), apa guna kerajaan negeri untung, sedangkan rakyat di sini rugi.” Kata salah seorang dari YB yang hadir.


“Dulu sayalah, orang yang paling lantang menolak projek ini di Parlimen. Tapi hari ini, saya tak kata saya tak bersetuju tapi jika kerajaan negeri bersetuju, sayalah orang pertama yang akan setuju. Ini semua untuk keselesaan rakyat Pahang.”


Biasanya kita dengar dialog-dialog sebegini waktu pilihanraya. Tapi, saya dah biasa dengan ayat-ayat manis sebegini di sepanjang bekerja. Akhirnya, tiada jawapan yang diberikan. Sebaliknya, semua persoalan yang dibangkitkan akan dibincang secara tertutup dengan Menteri Besar. Apa jua keputusan rakyat harus terima seadanya.


Tamat majlis saya telefon kembali orang kontak saya. Tiada yang positif. Saya berjalan pulang dengan harapan ada orang yang akan tumpangkan saya ke jeti. Alhamdulillah.


Lepas makan tengahari terus tunggu bas untuk ke Temerloh. Terus ambil bas Bulan Restu balik Kuala Lumpur. Malangnya, alat penghawa dingin tidak berfungsi dengan baik. Lebih memeritkan, cuaca agak panas. Malah kondisi bas pun agar uzur. Disini saya saran, kepada sahabat-sahabat nak ke Temerloh, jangan ambil perkhidmatan bas ini. Teruk.


Tiba di stesen Titiwangsa saya bertekad untuk balik dengan keretapi untuk ke Penang. Malangnya tiada tiket awal. Terpaksa tunggu 3 jam untuk perjalanan jam 10.30 mlm. Melepaklah saya di KL Sentral sambil berbual-bual dengan seorang pak cik yang juga menunggu keretapi. Jadualnya jam 8mlm.


Saya berseorangan. Tiba-tiba datang seorang tua berseluar jean mendekati saya. Katanya, dia datang untuk berubat seseorang di Shah Alam. Tapi, disebabkan ada sedikit masalah, pertemuan dibatalkan. Macam-macam dia bertanya pasai diri saya. Dia juga bercerita dengan pengajiannya di pondok-pondok. Dia juga cuba mempraktik pada diri saya. Saya mula curiga. Saya mula teringat pasai, pukau. Akhirnya, saya mintak diri untuk solat Mahgrib. Saya turut mengajak dia. Dia menolak. Malah menawarkan perkhidmatan untuk menjaga beg saya. Turun je tangga, pak cik tadi menahan saya. Dia terus menceritakan yang dia tiada duit untuk balik ke Melaka. Perkara ini, dari awal dah saya agak. Saya pohon untuk solat dulu. Saya berjaya melepaskan diri.


Selesai solat. Saya berehat di surau. Tiba-tiba saya ditegur seorang tua. Pakaiannya sedikit comot. Pohon bantuan untuk makan. Katanya, dompetnya hilang. Laporan polis, sebagai bukti. Saya tanpa berfikir panjang, hulurlah sedikit. Bagi saya, mungkin Allah hendak saya membantu seseorang malam ini.


Sampai di Penang jam 6.50pagi. Menuju ke jeti untuk menaiki feri untuk menuju ke Tanjung. Terpaksa turun di hadapan RECSAM dengan bas Rapid Penang. Itu sahaja pilihan yang ada. Untuk terus menunggu bas bernombor 206 yang sememangnya agak memeritkan kerana hanya ada sebuah sahaja bas yang beroperasi. Berjalanlah saya menuju ke rumah.


Panjang sungguh perjalanan..


Malam ini perjalanan ke Pontian pulak. Esok akan bersama-sama penduduk untuk menghasilkan memorandum membantah Cadangan Pembinaan Kawasan Petrokimia di Sungai Pulai, Johor. Ya ALLAH, semoga perjalanan aku dipermudahkan dan dapat membantu masyarakat di sana.

Tujuannya adalah.....

Aku bersetuju sangat dengan pendapat Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip berkaitan isu hukuman sebat kepada dikenakan kepada model yang meminum arak. Beliau menyebut;



” keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius dalam kerja mencegah kemungkaran. Kalau dulu pesalah yang disabitkan kesalahan sekadar menerima hukuman ringan bagaikan melepaskan batok di tangga”


Dan beliau menambah,


“sebarang bentuk hukuman sama ada denda, sebatan atau penjara, semuanya hendaklah dalam bentuk untuk memberi pengajaran kepada pesalah, bukannya untuk mendera atau menyebabkan kecederaan kepada pesalah. Prinsip hukuman di dalam Islam adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya menginsafi perbuatan itu.”


Kepada yang ada nama dan pangkat, tak perlulah pusing-pusing lagi untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh memeningkan umat Islam. Kalau sayang akan umat, inilah cara yang terbaik.


“Tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali sebagai pembawa rahmat kepada sekalian alam”

Al-Hujurat; 107