Tak Tambah Gula Pun Mahal???

Harga air suam 60 sen di kopitiam

KUANTAN 2 Ogos - Percaya atau tidak ada sesetengah kopitiam di sini mengenakan bayaran 60 sen bagi segelas air suam.

Keadaan itu menimbulkan rungutan di kalangan pelanggan apabila kopitiam terbabit mengenakan caj yang tidak munasabah ke atas segelas air suam.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kopitiam di bandar ini mendapati dakwaan tersebut ada kebenarannya apabila ada pengusaha mengenakan caj bagi secawan atau segelas air suam sekitar 50 sen dan 60 sen.

Bukan hanya harga air suam, malah harga milo ais juga terlalu mahal dan tidak wajar iaitu RM2.80 segelas.

Menurut seorang penyambut tetamu, Rosmawati Awang, 41, dia terkejut apabila dikenakan caj 60 sen bagi secawan air suam ketika minum di sebuah kopitiam terkenal di bandar ini.

"Selain memesan beberapa makanan dan minuman, saya memesan air suam sebagai tambahan. Apabila melihat resit bayaran, saya terkejut apabila air suam dikenakan caj sedemikian.

"Saya rasa tidak wajar air suam dikenakan caj sedemikian dan kerajaan perlu memantau situasi ini tambahan pula dengan kenaikan harga minyak dan gula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Rosmawati berkata, selama ini, jika menikmati hidangan di restoran biasa, tiada caj dikenakan ke atas segelas air suam.

"Kalau dikenakan bayaran pun cuma sekadar 20 sen bagi segelas air suam. Lagi pun, saya rasa penyediaan air suam tidak menggunakan kos yang tinggi dan mereka seharusnya bertolak ansur dalam perkara ini," jelasnya yang bekerja di sebuah hotel di sini.

Seorang pelayan kopitiam yang mahu dikenali sebagai Kay, 20, berkata, dia turut menyedari harga bagi segelas air suam yang dikenakan di tempatnya bekerja tidak wajar dan terlalu mahal jika dibandingkan dengan cara penyediaannya.

"Saya rasa memang tidak wajar tetapi saya hanya bekerja dan majikan telah menetapkan harga tersebut," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kadangkala jika ketiadaan majikan, dia tidak akan memasukkan air suam ke dalam senarai pesanan supaya tidak dikenakan sebarang caj.

Kay yang baru bekerja di sebuah kopitiam di sini berkata, sekiranya pesanan air suam itu melebihi dua gelas maka dia terpaksa memasukkan ke dalam resit pembayaran bagi mengelakkan sebarang masalah yang timbul ke atas dirinya.

0 comments:

Post a Comment