Jangan Dilayan Dua Parti Yang Mendokong Aliran Liberal


DAP pandang serius desakan haramkan SIS


DAP memandang serius terhadap usul yang diluluskan oleh muktamar PAS semalam untuk mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS).

Usul yang dibawa PAS Shah Alam dan diterima tanpa bahas itu, mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

"Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama," kata Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok yang juga ahli parlimen Seputeh.

Dalam satu kenyataan, Teresa berkata sikap mahu mengharamkan sesuatu adalah sifat Umno dan BN yang patut ditolak kerana ia bertentangan dengan hak asasi manusia serta melanggar hak-hak kebebasan sejagat.

"SIS bebas bersuara dan jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan pendiriannya, maka perlu dibahas secara sopan dan terbuka.

"Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita," katanya

Oleh itu, Teresa berharap PAS dapat berpegang teguh dengan janji dan amanah Pakatan Rakyat untuk memastikan hak dan kebebasan rakyat pelbagai pandangan di negara ini dijamin dan dilindungi.

Semua pihak, tambahnya, menghormati Islam sebagai agama rasmi di negeri ini.

"Pada masa yang sama, Islam sendiri bersifat terbuka dengan menerima perbezaan pendapat yang boleh dibincang, dihujah atau dicari jalan penyelesaian melalui rundingan dan dialog.

"Selama ini, kita semua berjuang untuk menghapuskan kezaliman dan ketidakadilan Umno dan BN.

"Kita tidak harus meniru sikap mereka yang tidak dapat menerima pandangan orang lain dan hanya tahu menggunakan kuasa untuk menutup mulut orang yang berbeza pendapat," tambahnya.


PKR minta PAS timbang semula usul terhadap SIS


PKR menggesa PAS supaya menimbang semula usul yang diluluskan oleh muktamar parti itu semalam mendesak kerajaan supaya mengharamkan pertubuhan Sisters in Islam (SIS).

Usul yang dibawa PAS Shah Alam dan diterima tanpa bahas itu, mendesak kerajaan mengharamkan SIS jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata parti itu - anggota Pakatan Rakyat - tidak bersetuju dengan usul yang diluluskan oleh muktamar PAS tersebut.

Malah, katanya, PKR juga tidak senang dengan usul tersebut yang juga menggesa supaya ahli-ahl PAS menjalani proses pemulihan.

Sehubungan itu, Mustaffa mengingatkan PAS tentang kebebasan bersuara dan berpersatuan yang menjadi amalan negara moden dan demokratik.

Katanya, perbezaan pendapat bukan sahaja dibolehkan tetapi dilindungi kerana ia merupakan asas penting dalam sebuah masyarakat yang adil dan demokratik.

Sebaliknya, kata Mustaffa cara yang betul ialah menyelesaikannya dengan berdebat secara matang dan bertamadun, dan bukannya menggesa pengharaman atau mengukum ahli-ahli persatuan terbabit.

Usul tersebut juga mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya," usul tersebut dipetik.

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Gesaan menyiasat dan mengharamkan SIS antara 12 usul yang diterima tanpa bahas di muktamar tersebut - merangkumi hal-hal politik, organisasi dan kepimpinan, agama, sosial dan hubungan serantau.


sumber Malaysiakini

Category: ,

2 comments:

Hijau Lestari said...

Tq,sham sudi singgah kat blog hijau lestari,bab SIS memang mendukung liberalisme dalam Islam,golongan orientalis memang suka dengan geng ini.Pada pendapat saya tidak salah cadangan Pas ini,semoga pendekatan dakwah secara istiqamah serta perbincangan dapat diterapkan kepada PKR dan DAP,

Hijau Lestari said...

TQ,Sham.....apa salahnya kita bertukar link,secara tak langsung dapat meninggikan page rank uncle google....saya dah letak link Sham di Hijau lestari..(saya masih pakai classic template,nanti jika berkesempatan mahu juga cuba template beta)

Post a Comment