Dosa Besar Bunuh Diri


Satu berita gempar semasa aku di dalam lif. Seorang lelaki Cina telah terjun dari tingkat 12 kat flat tempat aku sekeluarga duduki sekarang ni. Tak berapa pasti mengapa dia bertindak sedemikian.

Kita tinggalkan kisah ngeri tersebut. Dalam hal ini, Islam sangat menghargai jiwa manusia.

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”
(An Nisa' 93)


Sehubungan itu, dosa membunuh jiwa termasuk membunuh diri adalah dosa besar yang bakal menerima azab.

“Janganlah kamu sekalian membunuh jiwa-jiwamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengasihani kamu.”
(An-Nisa' 29)

Apa pun alasan dan cara membunuh diri seperti meminum racun, gantung diri, terjun tempat tinggi, melukai diri dan seumpamanya hukumnya tetap haram dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka tangannya akan menusuk besi itu ke perutnya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Barang siapa yang meminum racun untuk membunuh dirinya, maka dia meneguk racun itu di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Dan barang siapa yang menjatuhkan dirinya dari gunung untuk membunuh dirinya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya.”

Biasanya orang yang melakukan perkara terkutuk itu disebabkan kecewa atau tidak sanggup menempuh ujian hidup atau seumpamanya. Walau bagaimana berat ujian yang ditimpa, sebagai seorang yang beriman hendaklah menghadapinya dengan sabar. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah SWT) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…”

Begitu juga surah yang sama ayat 214 bermaksud:

“Adakah kamu patut menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang sudah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka sudah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda), dan serangan penyakit, serta digoncang (oleh ancaman bahaya musuh) sehinggalah berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada berserta: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu dekat (asalkan kamu berpegang teguh kepada agama Allah SWT).”

Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.
Category: ,

0 comments:

Post a Comment