Harap Bukan Remaja Muslim Terlibat


111 remaja bawah umur mabuk di pusat hiburan

KUALA LUMPUR 23 Julai – Tindakan 111 remaja bawah umur berpesta dalam keadaan mabuk di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Ah Sak, Dang Wangi di sini, mengundang padah apabila premis itu diserbu awal pagi ini.

Serbuan pukul 2.30 pagi dilakukan oleh anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan selama seminggu.

Sebelum ini, pusat hiburan itu pernah diserbu sebanyak dua kali oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Siasatan mendapati, premis yang beroperasi sejak setahun lalu itu merupakan lokasi tumpuan remaja berpesta sempena ‘ladies night’ (malam wanita), setiap malam Rabu dan Khamis.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, pihaknya percaya pusat hiburan itu menjadi tumpuan remaja kerana tiada sebarang sekatan dilakukan oleh pusat itu terhadap remaja bawah umur.

“Daripada 111 orang yang ditahan, seramai 67 adalah perempuan dan 44 lagi merupakan lelaki bawah umur dibenarkan memasuki pusat hiburan iaitu berusia 21 tahun dan ke bawah.

“Kebanyakan mereka berusia 17 hingga 19 tahun. Hasil pemeriksaan mendapati, remaja-remaja itu tidak terlibat dengan dadah sebaliknya hanya mengambil minuman keras,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Razali menambah, semua remaja berkenaan dibenarkan pulang selepas dijamin ibu bapa masing-masing.

Jelasnya, mereka juga turut diberikan kaunseling sebelum dibenarkan pulang.
Dalam operasi itu beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai pengurus pusat hiburan itu untuk didakwa.

“Kita juga akan usulkan perkara ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyekat sebarang pembaharuan lesen pusat hiburan tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, pihaknya kesal kerana pusat hiburan itu membenarkan remaja di bawah umur memasuki pusat tersebut tanpa sekatan demi mengaut keuntungan.

“Polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 yang boleh dikenakan hukuman maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan remaja di bawah 21 tahun tidak dibenarkan lagi memasuki premis hiburan di ibu kota apabila Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 telah dipinda pada sejak 2003.

0 comments:

Post a Comment