Penang Lancarkan 'Park & Ride'


Tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berjaya melaksanakan sistem ini dikala masyarakat umum tertekan dengan kadar inflasi yang sentiasa meningkat. Namun, banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk memastikan sistem pengangkutan awam menjadi pilihan utama dan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang berjaya di atasi.

BEST atasi kesesakan trafik FIZ

MENYUSURI sepanjang Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu (dulunya Jalan Pesisiran Pantai Timur Pulau Pinang) dari arah Batu Maung dan Bayan Lepas setiap hari memang cukup menyeksakan terutama bagi warga kerja di Industri Zon Bebas (FIZ), Bayan Lepas.

Dikenali sebagai koridor ekonomi utama Pulau Pinang ini, FIZ juga dilabel sebagai kawasan ‘sesak lalu-lintas’ terutama pada waktu puncak iaitu antara 8 hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 8 malam.

Dengan kira-kira 50,000 pekerja industri di kawasan FIZ, dianggarkan tidak kurang 20,000 kenderaan menjalar di situ setiap hari semasa pergi dan pulang kerja serentak. Daripada jumlah itu, kira-kira separuh daripadanya pekerja yang bermastautin di tanah besar atau kawasan Seberang Perai.

Dengan jumlah seramai itu, untuk melepasi Jambatan Pulau Pinang pada waktu puncak bukan senario yang menceriakan. Malah ada ketikanya kesesakan lalu lintas memanjang sehingga lima kilometer dari Jalan Bayan Lepas sehingga ke Jambatan Pulau Pinang.

Keadaan bertambah parah pada setiap petang Jumaat, cuti umum, cuti perayaan atau cuti persekolahan.

Bagi mereka yang bekerja di FIZ, isu kesesakan lalu lintas itu terpaksa mereka hadapi. Walaupun ada usaha diperkenalkan sebagai jalan penyelesaian seperti kempen berkongsi kenderaan tetapi ia gagal membuahkan hasil.

Jumlah kenderaan yang semakin bertambah turut memberi kesan kepada majikan (kilang) yang berhadapan dengan masalah kekurangan tempat meletak kereta.

Bagaimanapun, satu jalan penyelesaian terbaru dikemukakan oleh syarikat pengangkutan awam utama negeri itu, Rapid Penang Sdn. Bhd. (RapidPenang) iaitu menyediakan perkhidmatan bas pengantara khas secara percuma.

Menerusi program Bridge Express Shuttle Transit atau ringkasnya BEST, 16 buah bas disediakan RapidPenang khusus bagi membawa pekerja FIZ sebagai percubaan mulai 1 Mac ini bagi melihat keberkesanannya.

Mengikut perancangan asal, hanya 10 bas disediakan tetapi jumlahnya ditambah setelah mendapat maklum balas daripada Persatuan Pengilang-pengilang FIZ (Frepenca) yang mahu waktu menunggu bas dipendekkan.

Program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dan jalan utama di pusat bandar menuju ke kawasan perindustrian terbabit.

Pegawai Kanan Operasinya, Mohd. Azam Omar berkata, perkhidmatan tersebut memberi kemudahan berganda kepada kumpulan pekerja industri yang tinggal di Seberang Jaya.

Bayar parkir sahaja

Menurut beliau, perkhidmatan bas dua hala itu akan beroperasi dari stesen bas di tempat letak kereta Sunway Carnivall Mall, Seberang Jaya menuju ke tiga laluan FIZ.

“Pengguna hanya perlu meletakkan kenderaan ataupun motosikal di stesen bas tersebut. Sebanyak 10 bas akan berada di lokasi berkenaan setiap 30 minit bermula pukul 5 pagi dan 6 petang.

“Pengguna hanya menanggung bayaran tempat meletak kereta setiap hari untuk menaiki BEST ke tempat kerja.

“Menggunakan perkhidmatan awam, penumpang boleh sampai ke destinasi masing-masing di FIZ dalam tempoh 20 minit selain bebas kesesakan lalu lintas,” katanya semasa memperkenalkan perkhidmatan BEST kepada media baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow memberitahu, pihaknya akan meneliti semula statistik jadual operasi kilang-kilang terbabit sebelum program tersebut dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan pertemuan dengan Frepenca di Bayan Lepas baru-baru ini, pihaknya akan mengubahsuai semula jadual perjalanan termasuk menangani masalah kelewatan bas.

“Sehingga kini seramai 1,111 pekerja berminat dengan program tersebut dan kita jangka lebih ramai pekerja industri akan turut serta setelah melihat keberkesanannya.

“Selain menjimatkan kos pengangkutan individu kira-kira RM200 setiap orang, pihak syarikat (majikan) juga dapat mengatasi masalah kawasan tempat letak kereta di premis masing-masing.

“Buat permulaan, waktu menunggu dianggarkan selama setengah jam bagi setiap bas tetapi Frepenca mahu ia ditingkat kepada 15 minit sebuah, tetapi ia akan meningkatkan kos yang terpaksa ditanggung iaitu kira-kira RM600,000.

“Apa pun kita ingin lihat dahulu keberkesanannya kerana ia bukan sahaja bermanfaat kepada pekerja FIZ, tetapi juga orang ramai serta pengguna jalan raya lain bagi mengatasi kesesakan lalu lintas,” jelasnya.

Sumber Kosmo



0 comments:

Post a Comment