Rare Earth di Pahang

Syarikat yang berpengkalan di Australia ingin bangunkan kilangnya di Malaysia. mengapa tidak dibangunkan di negara sendiri?

NGO: Demi untung, jangan korbankan nyawa rakyat!

Dua pertubuhan bukan kerajaan secara terbuka meluahkan bantahan mereka berhubung tindakan kerajaan meluluskan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia, di Gebeng, Kuantan.

Sehubungan itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak kerajaan supaya segera membatalkan projek berkenaan.

“... amat khuatir dengan keputusan kerajaan negeri Pahang untuk meneruskan dengan cadangan kilang nadir bumi di Gebeng di sebalik hakikat bahawa kilang ini hanya menanti bencana untuk berlaku.

“Berdasarkan kepada semua risiko ini, adakah kerajaan bersedia untuk mengorbankan nyawa demi untuk mendapatkan keuntungan?” soal presiden dua pertubuhan itu, SM Mohamed Idris.

Menurutnya, SAM pada 2007 telah dijemput oleh kerajaan Terengganu untuk memberikan taklimat mengenai bahaya nadir bumi berdasarkan pengalamannya menangani pendedahan sisa radioaktif di Bukit Merah, Perak.

“Berikutan itu, projek berkenaan telah ditolak oleh kerajaan Terengganu.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, CAP dan SAM membantah dengan bersungguh-sunguh cadangan kilang nadir bumi memandangkan potensinya kepada kesan alam sekitar dan kesihatan awam daripada radioaktif dan sisa berbahaya yang dihasilkan olehnya,” katanya.

Mohamed Idris juga mempertikaikan tindakan kerajaan BN yang membisu berhubung projek bernilai RM700 juta itu. Katanya, lebih membimbangkan projek pemprosesan tanah jarang itu tidak memerlukan penilaian kesan alam sekitar lengkap.

“Penilaian kesan alam sekitar lengkap tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan dalam undang-undang kita. Oleh itu tidak terdapat sebarang ruang bagi orang ramai untuk meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi risiko dan mengemukakan bantahan mereka.

“Syarikat itu menyatakan terdapat pendedahan paras rendah kepada radiasi. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tidak terdapat paras selamat atau nilai ambang pendedahan radiasi pengionan.

“Jangka panjang, pendedahan paras rendah (kronik) kepada radiasi amat berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh boleh mengalami kerosakan oleh radiasi pengionan,” katanya.

Menurut Mohamed Idris, pendedahan kepada sisa radioaktif boleh menyumbang kepada peningkatan insiden leukaemia awal kanak-kanak, kanser, keguguran, mencacatkan system imun dengan bilangan sel darah putih rendah yang luar biasa, paras plumbum yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan plumbum.

“Kanak-kanak lebih mudah terjejas kepada kesan bahaya bencana radiasi berbanding penduduk umum kerana tubuh mereka menyerap dan memetabolismekan bahan secara berbeza, dan kerana mereka lebih cenderung mendapat kanser tertentu daripada pendedahan itu.

“Terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa yang terdedah kepada radiasi boleh terjejas oleh pendedahan itu juga,” katanya.

Menurutnya, isu lain yang dikhuatirkan ialah tidak terdapat cara yang selamat untuk melupuskan sisa yang dijana daripada loji penapisan itu.

Justeru, kerajaan kata Mohamed Idris perlu menjawab sama ada mereka bersedia mengorbankan nyawa rakyat demi mendapatkan keuntungan.


Jawapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili
(dikemaskini pada 23 Mac 2011)

K'jaan jamin loji radioaktif di Gebeng tak bahaya (23 Mac 2011)

Kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif tanah jarang (rare earth) di Gebeng, Kuantan, yang bernilai hampir RM700 juta, adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata ini kerana sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd itu mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi.

"Kilang ini selamat bagi orang awam dan kita akan pastikan syarikat ini patuhi prosedur pemprosesan. Ia berbeza daripada loji Asian Rare Earth," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.

Loji Asian Rare Earth (ARE) merujuk kepada loji logam 'rare earth' Mitsubishi Chemical di Bukit Merah, Ipoh, yang dikatakan menyebabkan sekurang-kurangnya enam kes leukemia di kalangan masyarakat setempat sebelum ditutup pada 1992 ekoran protes awam.

Isu kesan radiasi projek pemprosesan 'rare earth' di Gebeng antara lain dibangkitkan Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dan Dr D Jeyakumar (PSM-Sungai Siput) yang mempertikaikan rasional kerajaan meluluskan pembinaan loji itu walaupun mendapat tentangan khususnya daripada rakyat Kuantan.

'Perlepasan cukai'

Ongkili berkata langkah-langkah keselamatan akan dan sentiasa diambil untuk merendahkan lagi kemungkinan bahaya sinaran dan pencemaran dari sisa tersebut mengikut amalan konsep ALARA (As low as reasonably achieveable-Paling rendah mengikut budi bicara yang boleh dicapai).

Beliau berkata selain Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), Lynas juga dikehendaki mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan oleh beberapa lagi badan penguatkuasa lain sebelum sesuatu lesen dikeluarkan.

"Pihak syarikat juga telah dikehendaki mengambil langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang ketat bagi memastikan pekerja, orang awam, harta benda dan alam sekitar tidak terdedah kepada kemungkinan bahaya sinaran dan pencemaran (sekiranya ada) dari sisa tersebut," katanya.

Menurutnya Lynas juga menggunakan sumber bahan mentah Australia yang mengandungi satu per lima puluh kandungan radioaktif berbanding dengan bahan mentah yang digunakan oleh Syarikat Asian Rare Earth (ARE).

Menjawab soalan Fuziah mengapa Lynas diberi insentif pelepasan cukai selama 12 tahun, Ongkili berkata ia merupakan insentif biasa yang diberikan kepada syarikat-syarikat pelaburan besar yang dijangka mencipta peluang aktiviti ekonomi hiliran yang besar.

Kepada satu satu soalan lain, Ongkili berkata kebanyakan negara menolak untuk membina loji pemprosesan logam radioaktif pada 30 tahun lalu kerana khuatir berlakunya pencemaran sisa bahan berkenaan memandangkan ketika itu masih tidak ada teknologi mengenai pengurusan sisa radioaktif terutamanya jika berlaku sebarang kebocoran.

- Bernama – 23 Mac 2011


0 comments:

Post a Comment