Dah Satu Kapal


Artikel 1

Shahrizat nasihat Kartika kemuka rayuan (Sinar Harian-24 Ogos 09)

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menasihatkan peragawati sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat kerana kesalahan meminum arak, supaya memohon semakan atau mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.


“Saya menasihati Kartika untuk memohon semakan (revision) ataupun merayu (appeal) hukuman ini bukan sahaja untuk kepentingan beliau dan keadilan dilaksanakan, tetapi keputusan ini akan mewujudkan satu precedent yang tidak sihat dan memberi gambaran bahawa negara Malaysia mengamalkan satu sistem Syariah yang amat menggerunkan terutama untuk kaum wanita.

“Walhal sistem perundangan Syariah di Malaysia jika dilaksanakan mengikut semangat syiar Islam adalah amat adil dan saksama tanpa mengira gender,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu atas kesalahan meminum arak di sebuah hotel di Cherating tahun lepas.


Dia akan dibawa ke Penjara Kajang, Selangor esok untuk ditahan selama seminggu sebelum menjalani hukuman sebat di situ.


Shahrizat berkata, beliau merujuk kes tersebut bukan kerana pesalah adalah seorang wanita tetapi sama ada hukuman maksimum yang telah dikenakan adil dan mengikut semua peraturan perundangan Syariah. :


“Tiada sesiapa yang mempertikaikan bahawa adalah suatu kesalahan menurut Syariah untuk meminum arak.

“Namun, pandangan umum adalah hukuman maksimum iaitu denda RM5,000 dan sebat sebanyak enam kali tidak dapat mencapai matlamat untuk mendidik pesalah,” katanya.


Beliau berkata selain itu, pelbagai isu dan soalan prosedur perundangan telah dibangkitkan berhubung pelaksanaan hukuman kes itu, terutama tentang isu sebat ke atas pesalah. - Bernama


Artikel 2

Islam junjung tinggi keadilan (Malaysiakini-25 Ogos 09)

Mahathir Mohamad

Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum bir.


Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.


Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.


Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah.


Jika kerajaan tidak memperkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?


Apakah ada larangan dalam Islam untuk memperkanunkan undang-undang syariah?


Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini.


Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.


Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan: "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil".


Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?


Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keislaman.


Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.


Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.



Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.


Artikel pendek ini diterbitkan semula, sepenuhnya, daripada blog peribadi beliau Che Det.


Artikel 3

Imej Agama Apa Yang Kita Mahu?(Malaysiakini-25 Ogos 09)

Norhayati Kaprawi

Sebagai seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadhari atau Islam 'hududi'?

Apapun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.

Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam.

Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu.

Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian.

Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal.

Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apaabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?

Adakah orang-orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

Lupakah mereka tentang Umar yang berihsan sekali dan tidak menghukum seseorang yang mencuri akibat kemiskinan.

Lupakah mereka tentang pesanan Allah: "Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Maaidah: 39)

Malah, banyak lagi ayat Al-Qur'an yang memberikan peringatan yang sama seperti An-Nahl: 119, Al An'aam: 54, dan An Nahl: 125.

Patutkah Jabatan Agama Negeri Pahang yang telah memasukkan Kartika ke dalam van untuk dibawa ke penjara Kajang, menukar fikiran dengan tiba-tiba dan memulangkannya semula ke rumahnya?

Kemudian, ahli majlis mesyuarat kerajaan Pahang Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa Kartika akan disebat selepas bulan Ramadan pula.

Apakah layak Kartika dilayan seperti haiwan sarkas yang dimasukkan ke dalam sangkar, dilepaskan dan ditangkap semula sesuka hati?

Umat Islam harus jujur bertanya pada sanubari diri di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh rahmah ini – adil dan setimpalkah hukuman serta layanan tidak berperikemanusiaan ini ke atas Kartika?


Norhayati Kaprawi, aktivis wanita Muslim, pernah bertugas pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun. Penulis juga aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI)


Artikel 4

Tangguh sebat cetus debat(Berita Harian-26 Ogos 09)

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula memuji tindakan Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan hukuman itu ditangguhkan.

Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita 2009, beliau berkata, penangguhan hukuman itu bersesuaian bagi menghormati bulan Ramadan, di samping mengelak persepsi negatif dunia terhadap negara ini.

"Kami di kementerian sentiasa mengikuti perkembangan kes ini dan tidak mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan itu.

"Apa yang kita risau, corak hukuman itu boleh memberikan impak buruk kepada negara ini seperti Malaysia dianggap mengamalkan sistem yang zalim," katanya.

Shahrizat berkata, Kartika juga masih mempunyai ruang untuk meminta semakan semula hukuman yang dijatuhkan itu, namun kementerian dan kerajaan tidak mempunyai hak untuk memaksanya berbuat demikian.

"Saya tidak melihat perkara ini sebagai satu isu asalkan pelaksanaannya tidak menunjukkan ia dibuat atas faktor Kartika ini seorang wanita. Bagi saya, ini bukannya cara terbaik untuk mendidik apatah lagi hukuman ini keputusan yang tepat atau tidak.

"Kita perlu melihat perkara ini dalam konteks yang lebih luas. Dasar wanita yang baru juga akan mengambil kira semua ini agar tidak ada pihak yang teraniaya atau menjadi mangsa hanya kerana mereka ini seorang wanita," katanya.

p/s : Inilah masalahnya bila semua nak tunjuk pandai. Bercakap atas dasar gender yang keterlaluan dan keadilan yang tidak berpaksikan Islam. Tujuannya mencapai misi dan visi yang memusnahkan Islam. Akhbar pun satu, sengaja membesar-besarkan cerita.

0 comments:

Post a Comment