Teruskan Kerja Amal Ma'aruf, Nahi Mungkar


Jais Tetap Teruskan Operasi (Utusan Malaysia)


SHAH ALAM 8 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan operasi membanteras penjualan minuman keras kepada orang Islam di negeri itu termasuk menggunakan kuasa yang diberikan bagi menangkap mereka yang terlibat.


Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, operasi itu akan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab dalam soal pelesenan premis menjual minuman keras.


Beliau menegaskan usaha penguatkuasaan itu dilaksanakan tanpa sebarang pengecualian kerana ia telah termaktub dalam peruntukan undang-undang dan enakmen syariah di Selangor.


''Berdasarkan Seksyen 18, Enakmen Jenayah Syariah Selangor, JAIS mempunyai kuasa menangkap dan mendakwa orang Islam yang minum, menjual, membeli dan mempamerkan minuman keras termasuk bir.


''Kita ada kuasa (jalankan operasi) tetapi kita akan guna pendekatan berdakwah bertujuan memberi kesedaran dan kaunseling bukan tindakan menangkap atau menghukum mereka," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadan dan penyerahan kad kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama dan pegawai masjid seluruh Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.


Mohammed Khusrin bagaimanapun menjelaskan operasi yang melibatkan PBT itu akan buat secara berkala sekiranya wujud keperluan yang mendesak.


Semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan tidak akan melarang penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri ini walaupun mendapat bantahan keras majoriti umat Islam.


Sebaliknya, kerajaan negeri meminta semua premis perniagaan, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual arak mengamalkan konsep kawalan sendiri bagi membendung penjualan minuman keras kepada orang Islam termasuklah remaja bawah umur.


Dalam pada itu, Mohammed Khusrin ketika ditanya mengenai premis menjual arak diminta melaksanakan konsep kawalan sendiri itu memberitahu, kesedaran serta asas agama yang kuat juga perlu diberi kepada umat Islam selain daripada pelaksanaan konsep berkenaan.


''Ini bergantung kepada persepsi bagaimana kita tafsirkan konsep itu. Kalau kita ada kekuatan dalaman, langkah ini mungkin berkesan tetapi kita kena juga ada gerakan dakwah serta kesedaran selain memberi pengetahuan asas agama yang cukup kepada anak muda," ujarnya.


p/s : Saya bersetuju 300% dengan kesungguhan yang mahu dibuat oleh JAIS. Dengan kuasa dan tanggungjawab yang diberikan, laksanakanlah seadil yang mungkin. Amal Ma'aruf, Nahi Mungkar.


Saya juga cabar semua kerajaan negeri melaksanakan pengharaman secara TOTAL apa jua perkara yang berhubung dengan arak dan bir ini kerana arak pada masa kini telah banyak memusnahkan remaja-remaja dan belia-belia Islam.


Orang politik (kerajaan dan pembangkang) tak perlulah terus menuding jari kepada yang lain jika masalah di kawasan sendiri pun masih belum selesai. Buatlah perubahan, terutamanya yang beragama ISLAM dan berbangsa MELAYU.


"wahai orang-orang yang beiman masuklah kamu kepada Islam secara menyeluruh. Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu"


al Baqarah; 208


Kepada yang memegang tampuk pemerintahan, di peringkat kerajaan pusat atau negeri. Hentikanlah pergantungan kepada sumber yang haram. Tak usah sebut, cukai dari air kencing setan ini lumayan. Sesungguhnya rezeki itu dari ALLAH jua. ALLAH ITU MAHA KAYA dan PEMURAH kepada hamba-hambaNYA yang beriman dan bertakwa. Pergantungan seharusnya kepada ALLAH, bukan kepada benda HARAM tersebut.


0 comments:

Post a Comment