Siapa Yang Perlu Di Dahulukan?

Bayaran Makanan Asrama Sekolah Dipinda - 14 Januari 2010

Kementerian Pelajaran memaklumkan bahawa terdapat pindaan terhadap pelaksanaan bantuan makanan asrama sekolah tahun ini ekoran kekangan peruntukan bajet mengurus bagi kementerian itu.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dalam satu kenyataan media hari ini berkata, berdasarkan pindaan itu, kementerian memutuskan untuk menaikkan bayaran Bantuan Makanan Asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari bagi pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan.

Bagi ibu bapa yang berpendapatan kurang daripada RM5,000, bayaran RM1 sehari dikekalkan manakala pelajar di kalangan keluarga miskin dikecualikan sepenuhnya seperti amalan sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung kenaikan subsidi daripada RM14 kepada RM16 sehari bagi setiap pelajar di mana sebahagian daripada pelajar berkenaan adalah terdiri daripada kalangan keluarga yang berkemampuan.

Katanya, sekiranya kadar subsidi itu diteruskan sepenuhnya, kerajaan akan membelanjakan antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion bagi menanggung Bantuan Makanan Asrama pelajar-pelajar. "Kementerian telah merangka beberapa langkah penjimatan dengan mengambil kira bahawa penjimatan ini tidak akan menjejaskan program-program kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar," katanya.

Dr Zulkurnain berkata, bagi memastikan terdapat penjimatan, pengurusan makanan di sekolah perlu lebih cekap di mana pihak sekolah perlu menyediakan peraturan yang lebih kemas untuk memastikan pelajar yang ingin pulang di hujung minggu dimaklumkan lebih awal supaya pesanan bilangan makanan dapat dikurangkan dan penjimatan dapat dilaksanakan.


RM171 juta belanja tahanan warga asing - 24 Mac 2010

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM171 juta bagi menanggung perbelanjaan tahanan dan banduan warga asing bagi tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, banduan warga asing yang diuruskan di penjara adalah berjumlah 81,396 orang dan purata sehari tahanan adalah berjumlah 13,392 orang.

Katanya ini menunjukkan kemasukan pekerja asing juga boleh dikaitkan dengan bebanan ekonomi yang meliputi implikasi kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk perbelanjaan pengurusan melibatkan tahanan warga asing.

"Ini termasuk peruntukan yang disalurkan untuk pengurusan pusat-pusat tahanan seperti lokap, penjara dan depoh tahanan Imigresen," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ahli makmal pengurusan warga asing di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tahanan warga asing yang diuruskan di 13 buah depoh tahanan pula adalah berjumlah 408,979 orang bagi tempoh tiga tahun sejak 2006 dan purata setahun tahanan adalah berjumlah 102,244 orang.

Hishammuddin berkata perbelanjaan yang ditanggung kerajaan bagi jumlah kos makan untuk sehari bagi tahanan warga asing di depoh tahun lalu sahaja adalah sebanyak RM341,881.

Selain itu, katanya program penghantaran pulang dan pengusiran warga asing yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen dari tahun 2007 hingga tahun lalu melibatkan kos kira-kira RM35 juta.

p/s : Bukan bersikap prejudis kepada warga asing.
Category:

0 comments:

Post a Comment